MUAR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar hari ini melupuskan pelbagai barang kes bernilai RM82,500 selepas mendapat perintah mahkamah untuk berbuat demikian.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, barang kes yang dilupuskan itu adalah hasil serbuan yang dilakukan dari 2017 sehingga 2024.
“Semua barang dilupuskan selepas siasatan selesai dan mendapat arahan daripada pihak majistret dan Timbalan Pendakwa Raya.
“Keseluruhan barang kes yang dilupuskan itu melibatkan 140 kes merangkumi barangan elektronik seperti telefon bimbit dan peralatan audio video,” katanya dalam kenyataan.
Raiz Mukhliz berkata, turut dilupuskan 135 barang kes rampasan menerusi Ops Dadu dan 18 kes menerusi Ops Noda.
Jelasnya, semua barangan kes berkenaan diserahkan kepada Syarikat berlesen untuk dilupuskan dengan cara musnah melalui kaedah e-waste. – MalaysiaGazette