JOHOR BAHRU – Seorang jurutera tidak serik mencuba nasib dalam pelaburan dalam talian walaupun sudah diperdaya kali pertama pada November lalu, beberapa bulan kemudian melabur lagi dalam pelaburan baharu.
Namun keinginannya yang mahu mendapat keuntungan tinggi dalam masa singkat memakan diri apabila rugi RM571,100.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Victor Genason berkata, mangsa iaitu lelaki tempatan, 44, membuat laporan polis kelmarin mendakwa ditipu dua pelaburan berasingan berkenaan.
“Mangsa mendakwa kejadian pertama bermula pada 30 November tahun lalu apabila dia menerima mesej WhatsApp daripada wakil ‘Nuveen Financial Community’ yang menawarkan akademi pelaburan.
“Mangsa melakukan 23 transaksi ke sembilan akaun berbeza dari 22 Januari lalu hingga 3 April lalu dengan jumlah keseluruhan RM469,100,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Namun katanya, apabila mahu mengeluarkan keuntungan pelaburan, mangsa diminta membuat bayaran tambahan tetapi tidak berjaya.
Victor berkata, pada 10 Disember lalu, mangsa menerima tawaran sama daripada ‘PJT Partner Shock Academy’ dan membuat sembilan transaksi ke empat akaun berbeza antara 9 Januari lalu hingga 28 Mac lalu dengan jumlah RM125,000.
Katanya, sama seperti sebelum itu, mangsa tidak menerima keuntungan yang dijanjikan dan terus diminta membuat bayaran tambahan.
Mangsa ujarnya, menyedari dirinya ditipu selepas cuba mendapatkan semula wang pelaburannya namun gagal.
“Siasatan awal menerusi platform Semak Mule CCID mendapati tujuh daripada 13 akaun yang terbabit mempunyai 44 rekod laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
Beliau berpesan supaya orang ramai menyemak kesahihan syarikat pelaburan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat sebarang pembayaran.
“Orang ramai diseru mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) seperti Facebook, Instagram, dan TikTok untuk mengetahui modus operandi terbaharu jenayah komersial.
“Jika menjadi mangsa penipuan, segera hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” jelasnya. – MalaysiaGazette