KUANTAN – Seorang jurutera mengalami kerugian sebanyak RM156,000 akibat terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud.
Ketua Polis pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 39 tahun itu telah dihubungi oleh suspek sejak 16 Mac 2022 dan melakukan transaksi sehingga 9 Jun 2022.
“Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang telah menerima satu laporan polis dari daerah Bera berkaitan pelaburan tidak wujud yang melibatkan kerugian sebanyak RM156,000 yang baharu dilaporkan.
“Pada 16 Mac tiga tahun lepas mangsa seorang lelaki telah diperdaya untuk menyertai satu skim pelaburan saham di bawah syarikat dikenali sebagai ‘Perniagaan Bos’, yang kononnya menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh masa yang singkat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Yahaya, mangsa telah membuat 10 transaksi kewangan berjumlah RM156,000 ke dalam satu akaun bank.
Bagaimanapun, tambah beliau, jurutera itu mula curiga apabila diminta membuat pembayaran tambahan untuk mendapatkan keuntungan.
“Sumber kewangan adalah daripada pinjaman peribadi oleh mangsa,” ujarnya.
Berikutan polis Pahang menasihatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap tawaran pelaburan atas talian terutama yang menjanjikan keuntungan luar biasa.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette