KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri mewartakan perintah larangan bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] ke atas dua penerbitan.
Penerbitan tersebut ialah “The Goal of The Wise: The Gospel of The Riser of The Family of Mohammed” oleh Abdullah Hashem dan “Suka Duka Perjalanan Dhul-Qarnain/ Cyrus The Great dan Iskandar Agung”.
Katanya, perintah larangan itu penerbitan pertama melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No 4) 2025 [P U (A) 76] kerana mungkin memudaratkan ketenteraman awam.
Penerbitan kedua adalah “Suka Duka Perjalanan Dhul-Qarnain/ Cyrus The Great dan Iskandar Agung”.
Larangan itu berkuat kuasa pada 10 Mac 2025.
Tindakan Perintah Larangan bagi kedua-dua hasil penerbitan berkenaan adalah selaras dengan peruntukan bawah subseksyen 7(1) Akta 301 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan tersebut yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam atau kepentingan awam dilarang secara mutlak di Malaysia.
Tambah KDN, perintah larangan bawah Akta 301 ini berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.
Dalam masa yang sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum.
“Dengan ini diingatkan bahawa subseksyen 8(2) Akta 301 memperuntukkan bahawa, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
“Kerajaan ingin menyatakan komitmen yang berterusan untuk melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang boleh menggangu gugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – MalaysiaGazette