KUALA LUMPUR – UMNO Sabah menuntut penjelasan penuh dan terbuka daripada Kerajaan Negeri Sabah berhubung pelantikan Datuk Ar. James Wong sebagai Pengurus Besar Kumpulan (GGM) yang baharu bagi Sabah Economic Development Corporation (SEDCO).
Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir berkata, pihaknya maklum James mempunyai latar belakang profesional yang diiktiraf dan telah menyumbang dalam pembangunan Sabah selama ini.
Namun UMNO Sabah tidak boleh menutup mata terhadap keresahan masyarakat terutama kaum Bumiputera terhadap pelantikan itu yang disifatkan sebagai menyimpang daripada kebiasaan dan semangat asal penubuhan SEDCO.
Jelasnya, SEDCO ditubuhkan melalui Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah 1971 dengan misi jelas untuk memperkasa penglibatan ekonomi Bumiputera Sabah.
Justeru pertikaian yang timbul ekoran pelantikan James bukan soal perkauman tetapi soal prinsip dan arah tuju.
“Kami percaya dan yakin sepenuhnya bahawa Sabah tidak ketandusan bakat. Ramai tokoh Bumiputera yang berpengalaman luas dalam bidang korporat dan pembangunan ekonomi mampu memimpin GLC negeri seperti SEDCO.
“Ketepikan mereka bukan sahaja mencalarkan maruah, malah menghantar mesej yang salah kepada generasi akan datang seolah-olah usaha membina kapasiti anak negeri selama ini tidak dihargai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Suhaimi, pelantikan tanpa proses yang telus dan tanpa perbincangan terbuka boleh mencetuskan persepsi GLC negeri telah menjadi medan percaturan kuasa elit bukan lagi sebagai instrumen pembangunan yang adil dan inklusif.
Sehubungan itu, katanya, selain menuntut penjelasan penuh, UMNO Sabah turut menggesa ditubuhkan satu pelan kepimpinan dalam GLC negeri yang berfokus kepada pembinaan bakat Bumiputera Sabah.
Selain itu, tambahnya, kajian semula dasar pelantikan GLC oleh jawatankuasa bipartisan juga perlu dilakukan untuk mengelakkan krisis kepercayaan rakyat pada masa hadapan.
“Kami tidak menolak pelantikan ini kerana individu tetapi kerana prinsip. SEDCO bukan sekadar nama – ia lambang harapan ekonomi rakyat Bumiputera.
“Jangan biarkan simbol ini kehilangan makna demi agenda yang tidak selari dengan cita rasa rakyat Sabah,” katanya.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, James dilantik sebagai GGM SEDCO bagi menggantikan Haizar Razif Hisyam yang telah tamat kontrak perkhidmatannya. – MalaysiaGazette