Gambar hiasan.

ISKANDAR PUTERI – Polis berjaya menyelesaikan satu kes samun bersenjata melibatkan objek menyerupai pistol di Taman Nusa Bestari, Skudai di sini semalam dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan semalam daripada seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun.

“Mangsa mendakwa telah disamun oleh seorang lelaki tempatan bersenjatakan objek menyerupai sepucuk pistol di kawasan Taman Nusa Bestari.

“Bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Balai Polis Nusa Bestari berjaya mengesan dan menahan suspek warga tempatan in yang berumur 27 tahun di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau memberitahu, dalam serbuan itu pihak polis turut merampas sebuah motosikal, sebuah topi keledar, objek menyerupai sepucuk pistol serta kelopak, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM68.

Kumarasan berkata, suspek kini direman selama enam hari bermula hari ini hingga 15 April bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan.

“Kes juga disiasat bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana merompak dengan senjata atau menyebabkan kecederaan atau kematian yang memperuntukkan hukuman sebatan mandatori,” ujarnya.

Tambahnya, suspek turut disiasat bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan yang boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah ke balai polis berhampiran atau menghubungi pusat kawalan daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here