KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Myanmar maut manakala seorang penumpang van cedera selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di Jalan Senggang, Kuala Kangsar, Perak.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung nahas pada jam 8.42 malam tadi.
Menurutnya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit dikerahkan ke lokasi sejurus menerima maklumat.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah van yang membawa tiga individu dan sebuah motosikal.
“Penunggang motosikal berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang penumpang hadapan van didapati tersepit di bahagian kaki,” katanya.
Ujarnya, ketua operasi bertindak melaksanakan penilaian situasi (size-up) dan mengaplikasikan konsep penyelamatan SAVER bagi mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan hidraulik.
Mangsa yang cedera diserahkan kepada petugas KKM untuk rawatan lanjut, manakala mayat penunggang motosikal diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.40 malam dan diketuai Pegawai Bomba Kanan II TBK Mohd Zain Mat Yusoff.- MalaysiaGazette