KUALA LUMPUR – MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB), anak syarikat milik penuh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) memeterai kerjasama dengan enam rakan strategik baharu sebagai usaha memperluaskan lagi jangkauan perkhidmatan dan inovasi produknya kepada masyarakat Malaysia.
Antara rakan strategik baharu yang terlibat ialah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), MSC Trustgate.com Sdn Bhd, 2nd Chance Consolidation Sdn Bhd, Caliph Life Sdn Bhd dan Koperasi EZ Empire Berhad.
Pemeteraian kerjasama itu berlangsung sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 anjuran MAAB yang diadakan di Grand Pacific Ballroom, Ara Damansara, Subang, di sini, semalam.
Majlis yang menghimpunkan lebih 1,500 tetamu itu turut dihadiri oleh rakan-rakan strategik, wakil institusi kewangan, koperasi, dan syarikat korporat.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah; Pengerusi Lembaga MAAB, Datuk Mohd Ali Hasan; barisan Lembaga Pengarah MAAB serta pengurusan tertinggi daripada rakan-rakan strategik.
Sementara itu, Abdul Fattah menerusi satu kenyataan berkata, majlis tersebut bukan sahaja mengeratkan ukhuwah sempena Aidilfitri, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam memperkukuh kerjasama strategik yang akan membawa manfaat besar kepada masyarakat.
“MAAB komited untuk terus memperkasa masyarakat melalui penyediaan perkhidmatan amanah, perancangan harta dan inisiatif berlandaskan syariah secara mampan dan inklusif,” katanya. – MalaysiaGazette