PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menerima kunjungan hormat Gabenor Guangxi, China, Lan Tianli di pejabatnya, di Putrajaya, hari ini. – Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Malaysia menantikan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping yang dijadualkan pada 15-17 April ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, kunjungan Jinping itu bagi membolehkan kedua-dua negara bertukar pandangan antaranya terkait dengan potensi perdagangan dua hala meliputi ASEAN termasuklah pengukuhan kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan digital.

Ujar beliau, Malaysia mempunyai sasaran untuk menjadi hab kepimpinan AI serantau dan menjemput perusahaan AI terkemuka China untuk mempertimbangkan untuk menubuhkan ibu pejabat serantau mereka di sini.

Terdahulu, Anwar pagi ini menerima kunjungan hormat daripada Gabenor Guangxi, China, Lan Tianli dan delegasinya iaitu lawatan yang disifatkan mencerminkan hubungan yang mendalam dan terjalin lama antara Malaysia dan China, terutamanya dengan Guangxi sebagai rakan wilayah yang penting.

“China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun ke-16 berturut-turut pada 2024 dengan jumlah dagangan mencecah USD106.04 bilion (RM484.12 bilion) manakala Guangxi sebagai pintu masuk China ke ASEAN memainkan peranan penting dalam memudahkan perdagangan dan pelaburan dua hala,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Anwar, dalam pertemuan dengan Tianli pagi tadi juga, kedua-dua negara turut menyentuh usaha-usaha memajukan Inisiatif “Dua Negara, Taman Berkembar” melibatkan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Jelas beliau, inisiatif itu terus menunjukkan kemajuan positif dengan 19 projek diluluskan bernilai RM25.68 bilion dengan jangkaan pewujudan lebih 10,000 peluang pekerjaan.

Sehingga kini sebanyak RM20.77 bilion telah direalisasikan dengan 7,572 pekerjaan telah diwujudkan, sekali gus menunjukkan manfaat ketara kerjasama Taman Berkembar kepada ekonomi dan tenaga kerja Malaysia.

“Moga hubungan diplomatik Malaysia dan China terus berada pada tahap matang sehingga mampu menghadapi sebarang isu dan cabaran mendatang,” katanya.

Jinping dijadualkan mengadakan lawatan negara ke Malaysia mulai 15 hingga 17 April ini, iaitu lawatan yang secara tidak langsung menunjukkan hubungan perdagangan erat di antara kedua-dua negara.

Kehadiran pemimpin utama China itu berlangsung ketika perang perdagangan bersama Amerika Syarikat (AS) susulan kenaikan tarif timbal balik yang sedang tercetus, sekali gus menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

Pada 4 Oktober 2013, Xi Jinping bersama isteri, Peng Liyuan, buat pertama kali mengadakan lawatan rasmi ke Kuala Lumpur dengan sambutan rasmi dilakukan di Parlimen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here