KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang giat menilai implikasi daripada perubahan dasar tarif timbal balik oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump termasuk penangguhan 90 hari ke atas kebanyakan negara, selain China.
Sambil mengalu-alukan perubahan dasar itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagaimanapun berkata, ketidaktentuan tersebut sudah semestinya menimbulkan persoalan tentang hala tuju perdagangan global dan impaknya kepada ASEAN.
Ujar beliau, perubahan terkini itu juga menjadi antara topik perbincangan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang akan dipengerusikan beliau hari ini.
Dalam masa sama, ujarnya, Malaysia kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN dalam mengurangkan gangguan, memperkukuhkan daya tahan ekonomi serantau dan memperjuangkan hubungan perdagangan yang seimbang serta stabil.
“Perpaduan ASEAN dan integrasi ekonomi serantau akan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini, dan kami mengalu-alukan sokongan daripada rakan-rakan yang berkongsi visi ini dan mahu melihat kita semua berjaya,” katanya menerusi catatan di laman sosial Instagram beliau, hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, Malaysia sentiasa menjadi dan akan terus menjadi rakan perdagangan dan pelaburan yang terbuka kepada semua negara, termasuk China dan AS.
Jelasnya, Malaysia juga sentiasa komited untuk mencari penyelesaian yang saling menguntungkan dalam isu perdagangan dengan AS.
Di samping itu, ujar beliau, Malaysia juga akan meneruskan strategi sedia ada untuk mempelbagaikan perdagangan dan meneroka pasaran baharu, serta memperdalam hubungan dengan pasaran sedia ada, sebagai langkah berwaspada terhadap ketidaktentuan semasa.
“Kita juga akan meningkatkan usaha dalam agenda pembaharuan ekonomi negara untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing.
“Keutamaan kami adalah untuk mengharungi landskap yang sentiasa berubah ini sambil melindungi kemakmuran ekonomi negara kita,” katanya.
Trump sebelum ini mengumumkan penangguhan kenaikan tarif timbal balik terhadap kebanyakan negara yang dikenakan beliau minggu lalu selama 90 hari.
Menerusi kenyataan di laman media sosial beliau pukul 1.30 petang Rabu, Trump berkata, keputusan itu diambil selepas sebanyak 75 negara rakan dagang AS tidak mengambil tindakan balas ke atas tarif timbal balik yang dikenakan sebelum ini.
Bagaimanapun, penangguhan itu tidak terpakai terhadap China, malah Trump meningkatkan tarif timbal balik ke atas negara itu kepada 125 peratus serta-merta, berbanding 84 peratus sebelum ini. – MalaysiaGazette