KUALA LUMPUR – Pelan Transformasi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dirangka bagi memperkukuh institusi berkenaan sebagai tonggak agenda pembangunan Melayu-Bumiputera telah diiktiraf dan diperakui dalam satu sesi khas selama dua jam bersama Ahli Majlis MARA dan barisan pengurusan tertingginya.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelan yang dibentang kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu telah diabsahkan dan akan dimulakan segera.
“Alhamdulillah malam tadi dua jam berlangsung sesi khas Ahli Majlis MARA dan Pengurusan Tertinggi MARA membentangkan Pelan Transformasi MARA kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang bertanggung-jawab ke atas MARA.
“Pelan transformasi ini penting bagi melonjakkan MARA menjadi institusi terunggul dalam memartabatkan agenda Melayu-Bumiputera,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Dr Asyraf berkata, transformasi tersebut melibatkan rombakan menyeluruh terhadap struktur kewangan, tadbir urus korporat serta agenda pendidikan dan keusahawanan MARA.
Katanya, dua pasukan khas telah ditubuhkan bagi menggerakkan inisiatif ini diketuai oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Seri Muhammad Ibrahim; bekas Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali dan Ketua Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Kedua-dua pasukan akan membantu Ketua Pengarah MARA yang baharu, Datuk Zulfikri Osman dalam melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan terhadap MARA serta 33 anak syarikatnya termasuk MARA Corporation.
Katanya lagi, dengan lebih 18,000 kakitangan di seluruh negara, transformasi tersebut dijangka memperkukuh kedudukan MARA sebagai sebuah institusi Bumiputera yang cemerlang, unggul dan dihormati. – MalaysiaGazette