KUALA LUMPUR – Pengeluaran roti Gardenia dilaporkan telah pulih sepenuhnya selepas terjejas akibat letupan paip gas baru-baru ini.
Menurut laporan China Press, Gardenia telah mengambil langkah proaktif dengan menggunakan sumber tenaga alternatif seperti elektrik dan diesel bagi memastikan operasi pengeluaran dapat diteruskan semasa berdepan gangguan bekalan gas.
Pihak Gardenia dalam kenyataannya memaklumkan bahawa operasi mereka telah kembali normal sepenuhnya sejak 6 April. Pemulihan ini dijangka dapat menyelesaikan isu kekurangan bekalan roti yang dialami di beberapa kawasan.
Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia, Hong Chee Meng mengesahkan bahawa sebahagian bekalan roti memang terjejas berikutan insiden letupan yang berlaku di Putra Heights.
“Tidak semua kilang Gardenia terjejas kerana mereka mempunyai beberapa kilang dengan pengkhususan yang berbeza. Ada kilang yang khusus mengeluarkan roti putih, dan kilang lain menghasilkan roti berinti,” jelas beliau.
Chee Meng menambah, meskipun operasi pengeluaran Gardenia telah pulih sepenuhnya, bekalan di peringkat runcit di kawasan lebih jauh mungkin mengambil sedikit masa untuk kembali normal disebabkan faktor pengangkutan.
Selain Gardenia, jenama roti Massimo juga dilaporkan mengalami gangguan bekalan ekoran insiden letupan paip gas yang menyebabkan pembekal menghentikan sementara bekalan gas asli cecair ke kilang mereka bagi tujuan pembaikan.
Bagaimanapun, pengeluaran roti Massimo kini telah pulih setelah bekalan gas disambung semula.
Insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, telah memberikan impak yang signifikan terhadap operasi kira-kira 200 kemudahan industri di sekitar Lembah Klang, melibatkan pelbagai subsektor pembuatan dan skala syarikat.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai menyatakan bahawa pengilang yang terjejas bergantung kepada bekalan gas yang stabil untuk pengeluaran.
Mereka berdepan risiko pemberhentian pengeluaran, kerugian kewangan, dan gangguan serius terhadap rantaian bekalan.