KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis menafikan dakwaan bahawa maklumat terperinci diterima berhubung senjata dalam kereta Nissan Teana berwarna biru gelap lengkap dengan nombor pendaftaran adalah untuk memerangkap bekas pembantu penyelidik kepada ahli politik Muhammed Yusoff Rawther.
Sarjan Chong Choon Khen, 46, yang bertugas di Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dalam perbicaraan membabitkan Muhammed Yusoff yang berdepan pertuduhan mengedar dadah dan pemilikan senjata tiruan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Muhammad Rafique: Setuju saya katakan tujuan pasukan serbuan sampai ke lokasi serbuan adalah kerana maklumat yang diterima daripada pemberi maklumat terlalu spesifik, untuk perangkap tertuduh.
Chong: Saya tidak setuju.
Muhammad Rafique: Setuju saya katakan maklumat yang diterima adalah spesifik kerana polis sudah tahu dan target jenis dan warna kereta, nombor plat kereta dan dalam kereta ada pistol sebelum serbuan dibuat.
Chong: Saya tidak setuju.
Disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan mengenai maklumat spesifik itu, Chong berkata maklumat yang diperoleh berkaitan Ops Laras tidak dikategorikan sebagai spesifik.
“Jika maklumat yang diterima tidak berjaya, ia tetap tidak berjaya. Ia tidak ada kategori spesifik atau tidak spesifik. Ia maklumat sahaja,” katanya.
Terdahulu, saksi pendakwaan ketujuh itu berkata beliau terlibat dalam Ops Laras diketuai Insp Risikan Wan Muhammad Wan Ali dari D9, IPKKL dan pegawai atasannya itu telah memberi taklimat berhubung serbuan yang bakal dilakukan.
“Pada 6 Sept 2024, saya bersama pasukan bergerak dari pejabat D9, IPKKL sekitar 7 pagi dan sampai ke lokasi kejadian antara 7.20 ke 7.25 pagi. Pemerhatian dibuat berdasarkan taklimat oleh Insp Wan Muhammad berkenaan sebuah kereta Nissan Teana berwarna biru gelap, nombor plat PMH 6391 dan beliau meminta kami mencari kenderaan tersebut.
“Sampai ke lokasi, kami jumpa kereta di tepi jalan berhampiran Kondominium Senada, Bukit Kiara. Setelah jumpa kenderaan itu, kami telah buat pemerhatian ke atas kenderaan lebih kurang dua jam hingga nampak seorang lelaki menghampiri kenderaan itu. Nampak pergerakan tangan seperti tekan alarm dan dia cuba membuka pintu kereta. Saya dah pasukan keluar daripada kenderaan kami dan saya diarahkan oleh Insp Wan Muhammad untuk mengawal lelaki itu,” katanya.
Chong berkata beliau diminta untuk menggari tangan tertuduh (Muhammed Yusoff) oleh Wan Muhammad selepas pegawai atasannya itu menjumpai pistol semasa menggeledah kereta berkenaan.
Ketika ditanya sebab saksi menggari tertuduh sedangkan telah dimaklumkan beg hitam mengandungi pistol bukan barang kepunyaannya, Chong berkata: “Saya mengambil tindakan untuk menggari tertuduh selepas terima arahan daripada Insp Wan Muhammad. Saya tidak peduli apa yang tertuduh kata”.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.
Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau IPK Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 Sept tahun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.
Dia juga didakwa atas pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada 9.25 pagi, 6 Sept 2024, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.- BERNAMA