KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membidas Perikatan Nasional (PN) khususnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya tidak menunggang isu Kampung Sungai Baru, di sini, untuk kepentingan politik.
Malah, beliau turut mengingatkan yang mana dalam pertemuan 23 Ahli Parlimen PN bersama penduduk semalam, Pengerusi Jawatankuasa Sementara Penduduk Kampung Sungai Baru menempelak PN dengan mendakwa ada bekas menteri terdahulu menyebelahi pemaju.
Antara nama yang disebut penduduk, katanya, termasuk bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar; Tan Sri Annuar Musa dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim.
“Hamzah berjanji akan bawa isu itu ke Parlimen. Apakah itu akan selesaikan masalah?
“Projek 2016 ini awalnya dipersetujui oleh 260 penduduk. 37 lagi membantah,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Mohd. Puad, isu berkenaan Kampung Sungai Baru itu mengingatkan kepada projek Kerinci Residen pada tahun 2012 yang mana seramai 408 penduduk yang setuju berpindah mendapat pangsapuri tiga bilik berbanding flat asal satu bilik.
Namun, ujarnya, seramai 34 penduduk yang membantah projek itu disebabkan hasutan wakil rakyat ketika itu kini terpaksa menjadi penyewa rumah projek perumahan rakyat (PPR).
“Sebab itu lebih baik berunding balik jika masih ada ruang. Jangan dengar cakap penghasut yang menunggangi isu. Jangan ada yang rugi macam 34 penduduk Kg Kerinci,” katanya.
Semalam, Hamzah ketika mengadakan perbincangan dengan penduduk menegaskan, isu pemilikan tanah di Kampung Sungai Baru bukan sekadar permainan politik sebaliknya perjuangan serius mempertahankan hak rakyat.
Beliau berkata, pemilik tanah di kawasan tersebut memiliki geran sah dan status tanah Rizab Melayu yang jelas, namun kerajaan dilihat cuba mengambil alih tanah tersebut dengan alasan pembangunan semula.
Isu Kampung Sungai Baru timbul apabila kerajaan merancang untuk mengambil semula tanah bagi tujuan pembangunan semula melalui Akta Pengambilan Tanah 1960.
Namun sebahagian penduduk membantah tindakan itu kerana mendakwa nilai pampasan yang diberikan jauh lebih rendah berbanding harga pasaran sebenar.
Pada 25 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara terhadap pengusiran beberapa penduduk Kampung Sungai Baru setelah mereka memfailkan semakan kehakiman berhubung pengambilan tanah mereka. – MalaysiaGazette