KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatatkan jumlah sitaan sebanyak RM483.38 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dengan nilai sitaan terbesar membabitkan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, berkata jumlah sitaan keseluruhan di bawah Akta SPRM 2009 dalam tempoh tersebut termasuk wang tunai dan jongkong emas bernilai RM177 juta yang dirampas dalam kes Ismail Sabri.
“Paling besar sitaan sekarang ini adalah kes Datuk Seri Ismail Sabri, iaitu RM177 juta,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Sabah yang turut dihadiri Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar.
Beliau berkata dalam tempoh sama, jumlah aset dan wang yang dibekukan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan serta Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) adalah sebanyak RM548,978,525.
Katanya setakat ini jumlah aset yang telah dilucuthak dan dimasukkan ke dalam akaun kerajaan di bawah ketiga-tiga akta berkaitan, termasuk Akta Tatacara Jenayah, adalah sebanyak RM603,363.29, manakala jumlah penalti atau kompaun yang dikutip ialah sebanyak RM412,000.
“Sebanyak 319 kertas siasatan telah dibuka, 401 tangkapan telah dilakukan, dan 146 individu telah dituduh di mahkamah dalam tempoh tersebut.
“Usaha kita dalam menyelesaikan kes-kes ini sedang giat dijalankan bagi tujuan bukan hanya pertuduhan tetapi juga pemulihan aset,” katanya.
Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera, disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.- BERNAMA