PUTRAJAYA – Mendiang Kee Kok Thiam yang merupakan sekutu Low Taek Jho atau Jho Low mengaku pernah beberapa kali mendepositkan wang secara tunai melalui kaunter ke dalam akaun Ambank milik Datuk Seri Najib Razak sekitar 2014 dan 2015.
Mahkamah Tinggi hari ini turut diberitahu, ekoran tindakan tersebut, sekutu ahli perniagaan dalam buruan itu khuatir kemungkinan disiasat pihak berkuasa jika kembali ke negara ini selepas menghilangkan diri.

Perkara itu didedahkan oleh pihak pendakwaan melalui kenyataan Kok Thiam yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekembalinya ke Malaysia.
Kenyataan itu dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan ketika menyoal balas pegawai penyiasat Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Raywell Anduroh pada prosiding itu.
Sewaktu mengesahkan kenyataan tersebut, saksi pembelaan ke-18 (DW18) itu berkata, pada tahun 2023, beliau merekodkan kenyataan Kok Thiam yang mengaku memasukkan wang tunai ke dalam akaun Najib seperti yang diarahkan oleh Nik Faisal Ariff Kamil.
Nik Faisal adalah Bekas Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB yang juga pemegang mandat iaitu individu yang diberi kuasa untuk menguruskan akaun Najib.
Kenyataan Kok Thiam itu menyatakan;
“Semasa berada di Phuket, kami mendapat tahu bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan kami risau sekiranya Datuk Seri Najib akan disiasat.
“Jho Low meminta kami untuk tidak kembali ke Malaysia terlebih dahulu bagi melihat keadaaan semasa politik di Malaysia.
“Jho Low ada memberitahu saya sekiranya Datuk Seri Najib disiasat dan saya kembali ke Malaysia, saya mungkin akan disiasat atas sebab mendepositkan wang ke dalam akaun Datuk Seri Najib.”
Pada tahun 2023, polis mengklasifikasi kematian Kok Thiam sebagai mati mengejut (SDR), disebabkan faktor kesihatan.
Beliau sebelum itu dihantar pulang dari Macau kerana tinggal lebih masa.
Al Jazeera melaporkan bahawa Kok Thiam memberitahu SPRM, beliau bertemu Jho Low dan orang dalam buruan kes 1MDB lain termasuk Eric Tan Kim Loong (sekutu Jho Low) , Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Geh Choh Heng (bekas pegawai 1MDB) dan Nik Faisal di Macau.
Pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd, bekas Pegawai Perhubungan Ambank, Krystle Yap Wy Sze dalam keterangannya berkata, beliau diarahkan membantu mempercepatkan transaksi perbankan Kok Thiam untuk ‘potong barisan’ dan memindahkan sejumlah besar wang ke dalam akaun Najib.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa ini. – MalaysiaGazette.