KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan ayam sejuk beku di Jalan Meranti, Pasir Mas, Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan dilakukan pukul 8.30 pagi pada Selasa lalu selepas pihaknya menahan dua kenderaan di sebuah premis di kawasan tersebut ketika menjalankan tugas dalam Op Taring Chiller.
“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan dan premis tersebut menemui 271 kotak ayam sejuk beku. Pemandu serta pemilik premis gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah dan disyaki menyeludup ayam sejuk beku dari Thailand melalui pengkalan haram,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Nik Ros Azhan, anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM140, 000 termasuk kenderaan dan kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
“Kesemua suspek yang berusia 25 hingga 39 tahun serta barang rampasan diserahkan kepada pihak kastam untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette