WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan penangguhan kenaikan tarif timbal balik terhadap kebanyakan negara yang dikenakan beliau minggu lalu selama 90 hari.
Menerusi kenyataan di laman media sosial beliau pukul 1.30 petang Rabu, Trump berkata, keputusan itu diambil selepas sebanyak 75 negara rakan dagang AS tidak mengambil tindakan balas ke atas tarif timbal balik yang dikenakan sebelum ini.
Malah, katanya, kebanyakan negara juga telah menghubungi Rumah Putih bagi membincangkan mengenai tarif timbal balik tersebut.
Bagaimanapun, penangguhan itu tidak terpakai terhadap China, malah Trump meningkatkan tarif timbal balik ke atas negara itu kepada 125 peratus serta-merta, berbanding 84 peratus sebelum ini.
“Berikutan tindakan kurang hormat yang ditunjukkan oleh China terhadap pasaran dunia, saya dengan ini menaikkan tarif yang dikenakan ke atas China oleh Amerika Syarikat kepada 125 peratus, berkuat kuasa serta-merta.
“Pada satu ketika nanti, semoga dalam masa terdekat, China akan menyedari bahawa zaman menindas Amerika Syarikat dan negara-negara lain tidak lagi boleh diteruskan atau diterima,” tulisnya seperti dilaporkan media antarabangsa.
Semalam, China mengumumkan meningkatkan tarif sebanyak 84 peratus daripada 34 peratus ke atas barangan yang diimport dari AS, sebagai tindak balas terhadap AS yang menaikkan tarif ke atas China kepada 104 peratus.
Menurut Kementerian Kewangan China, kadar baharu cukai itu akan mula berkuat-kuasa hari ini dan turut menggesa negara-negara lain bersatu menentang tarif yang dikenakan Trump.
Sementara itu, pasaran saham global yang jatuh ke paras terburuk ekoran pengumuman tarif minggu lalu, melonjak pada Rabu selepas Trump mengumumkan penangguhan selama 90 hari pelaksanaan tarif berkenaan.
Lonjakan yang disifatkan antara salah satu yang terbesar sejak Perang Dunia Kedua itu meyaksikan Indeks S&P 500 melonjak sebanyak 5.6 peratus, manakala Nasdaq meningkat lebih lapan peratus.
Bagaimanapun, pasaran saham global dinilai masih berada dalam situasi berhati-hati ekoran perang perdagagangan antara AS dan China yang berlanjutan selain tekad Trump meneruskan tarif timbal balik yang diumumkan sebelum ini sebaik sahaja tempoh 90 hari berakhir. – MalaysiaGazette