Mohd Sumali Reduan

KUALA LUMPUR – UMNO memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah di ibu kota berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti politik berkenaan.

Saman itu difailkan oleh Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan selaku plaintif menerusi firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini, pada 6 Mac lepas dengan menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili UMNO ketika dihubungi berkata pada pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Shasha Hidayah Nor Azahar hari ini, mahkamah menetapkan 2 Mei untuk pengurusan kes selanjutnya.

Dalam saman itu, UMNO memohon satu perintah bahawa pemilik geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftarkan atas nama pemegang-pemegang amanah iaitu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid dipindahkan kepada UMNO mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.

Selain itu, UMNO memohon Pendaftar Hakmilik Wilayah Persekutuan atau Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan melaksanakan perintah tersebut dengan membuat memorial di dalam dokumen hak milik.

Berdasarkan afidavit sokongan, Mohd Sumali berkata berdasarkan kepada Borang Jadual 17, permohonan kebenaran untuk pindah milik tanah bertarikh 27 Okt 2015 bagi hartanah itu yang disertakan dengan Surat Akuan bertarikh 22 Okt 2015 disahkan serta ditandatangani oleh empat pemimpin terbabit.

“Dua pemegang amanah telah meninggal dunia iaitu Sanusi pada 9 Mac 2018 dan Daim pada 13 Nov 2024. Kematian Daim telah diketahui umum berikutan penyebaran berita tersebut di pelbagai platform sama ada luar talian mahupun dalam talian termasuk media sosial, portal berita, surat khabar, radio dan televisyen,” katanya.

Menurut Mohd Sumali, pemegang jawatan UMNO yang terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung UMNO telah bersetuju melalui Surat Akuan bertarikh 10 Dis 2015 untuk mendaftar semula hartanah tersebut daripada pemegang-pemegang amanah terdahulu kepada parti itu.

Mohd Sumali berkata melalui surat bertarikh 28 Dis 2015 daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Kerja TanahWilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah meluluskan untuk kebenaran pindah milik daripada Pemegang-pemegang Amanah tersebut kepada UMNO.

“Bagaimanapun, ketika proses untuk pindah milik melalui Borang 14A bertarikh 25 April 2016 dilakukan dan diserahkan oleh peguam plaintif (UMNO) kepada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGKL), permohonan Borang 14A tersebut telah ditolak pada 18 Mei 2017 atas alasan nama seperti di dalam geran hartanah adalah tidak sama seperti dalam kad pengenalan,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here