JOHOR BAHRU – Seorang wanita maut tersepit di tempat duduk pemandu selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Bestari, Bestari Indah di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Peguasa Bomba Kanan II M K Haridas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 3.07 petang.
Susulan itu seramai 10 anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dengan dua pacuan empat roda berlaku di jalan berkenaan menghala ke Felda Ulu Tebrau. Seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu.
“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum Yap Seiw Lean yang berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mayat diserahkan kepada pihak polis manakala mangsa yang lain dibawa dengan ambulans dan dengan bantuan orang awam sebelum pihak bomba tiba.- MalaysiaGazete