SUBANG JAYA – Seramai 396 pemilik dan penyewa kediaman yang terkesan akibat kebakaran paip gas di Putra Heights dikenal pasti layak menerima bantuan awal daripada Kerajaan Negeri Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses verifikasi dan semakan silang terhadap semua pendaftaran yang diterima telah dilakukan dengan teliti bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak diberi bantuan.
“Daripada 613 pendaftaran yang diterima, kita telah selesai melakukan semakan dan pembersihan data.
“Daripada jumlah itu, hanya 467 telah disahkan sebagai pendaftaran yang sah pada peringkat pertama.
“Setelah dilakukan semakan silang lanjut, jumlah akhir penerima yang layak ialah 396,” katanya dalam sidang media di PPS Masjid Putra Heights, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa bantuan dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu pemilik rumah dan penyewa rumah yang kehilangan atau mengalami kerosakan harta benda akibat kebakaran tersebut.
“Kalau ada penyewa atau pemilik yang rasa mereka layak tetapi tercicir, mereka boleh terus rujuk kepada Pejabat Tanah atau pegawai bertugas.
“Kita akan semak semula, sebab kadang-kadang ada rumah kosong atau bengkel yang didaftarkan tetapi tidak mempunyai penghuni,” tambahnya.
Amirudin memaklumkan bahawa proses semakan silang bukan sahaja dibuat secara dalaman, tetapi turut melibatkan kerjasama dengan hospital, bomba, dan ketua kampung bagi memastikan ketepatan maklumat.
“Kalau ada bukti-bukti kukuh yang menunjukkan seseorang itu memang tinggal di rumah yang terjejas, kita bersedia untuk mempertimbangkan semula pendaftaran tersebut.
“Ini penting supaya bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” ujarnya. – MalaysiaGazette