KUALA LUMPUR – Semua agensi berkaitan dalam Parlimen Sepang sudah diarahkan untuk berada dalam keadaan berwaspada dan bersiap siaga sejak malam tadi bagi mendepani kejadian banjir kilat.
Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, semua Pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang juga telah turun padang bagi menyantuni mangsa-mangsa banjir kilat sejak awal pagi tadi.
“Susulan hujan lebat berterusan sepanjang malam tadi, berlaku banjir kilat di beberapa lokasi dalam Parlimen Sepang khususnya di Jalan Salam Kampung Sg Merab Luar, Kajang seawal jam 3.30 pagi.
“Anggota Wira Merah Dengkil kita telah digerakkan untuk kerja-kerja penyelamatan.
“Semua cuti dibekukan dan semua on standby & on call mode,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggesa penduduk yang terjejas akibat banjir mengikuti makluman dan arahan daripada pihak-pihak berkuasa, selain sentiasa mengutamakan keselamatan.
Sementara itu, hujan lebat selama beberapa jam sejak malam tadi turut menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir kilat.
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas adalah di sekitar Puchong dan Kajang serta beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebanyak 12 rumah di Kampung Sungai Merab Luar Kajang turut dinaiki air awal pagi tadi.
“Seramai 15 mangsa dibawa keluar oleh pasukan operasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut melaporkan operasi mereka bagi laluan Lembah Klang pagi ini turut erganggu susulan banjir kilat yang melanda khususnya bagi laluan Pelabuhan Klang – Tanjung Malim – Pelabuhan Klang.
Menurut KTMB, banjir kilat turut berlaku antara Stesen Batu Tiga dan Stesen Subang Jaya berlaku akibat hujan lebat yang berterusan pagi ini. – MalaysiaGazette