KUALA LUMPUR – Seorang penghantar barang berusia 24 tahun maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika sedang mengecas telefon bimbitnya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian yang melibatkan lelaki tempatan itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang.
Katanya, insiden mungkin berpunca akibat telefon bimbit dan wayar penyambung terjatuh ke kawasan yang telah dinaiki air.
“Rakan mangsa pulang daripada kerja mendapati mayat mangsa dalam keadaan meringkuk di bilik. Kita dapati air memang dah masuk dalam rumah jadi kemungkinan telefon bimbit dan wayar penyambung jatuh ke dalam air banjir.
“Ketika rakan mangsa keluar bekerja, mangsa dikatakan masih menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas,” katanya ketika dihubungi Buletin Tv3 hari ini.
Menurutnya lagi, keadaan banjir di lokasi berkenaan berada pada paras buku lali.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Terdahulu, polis turut memaklumkan kes seorang warga Sri Lanka yang turut maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.
Kejadian itu berlaku di sebuah stor penyimpanan barang pembinaan di Taman Alam Indah, Seksyen 25, Shah Alam pada jam 10.51 pagi. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN