ISKANDAR PUTERI – Penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva mencipta rekod baharu apabila meledak 31 gol dalam Liga Super musim 2024/2025 dan mengumpul 104 gol sejak menyertai JDT pada 2021 .
Beliau berjaya mencipta sejarah tersendiri untuk muncul penjaring terbanyak pada musim kali ini sekali gus hampir mengatasi pencapaian Indra Putra.
Pemain import kelahiran Brazil itu hanya perlu memburu tiga lagi gol ketika aksi terakhir JDT berdepan Kuching City FC, Rabu ini.
Meskipun kariernya kini semakin bersinar, Bergson berterima kasih kepada rakan sepasukan yang membantunya mencipta lima gol bagi memastikan JDT membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 9-0 pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
“Amat gembira dengan pencapaian yang saya lakukan pada musim ini kerana bukan mudah untuk menjaringkan 31 gol dalam satu musim ditambah pula lima gol yang saya jaringkan pada aksi babak pertama semuanya hasil daripada kerjasama berpasukan.
“Semenangnya saya tidak menjangka untuk mencapai kejayaan itu. Seperti saya katakan, setiap kali latihan perlu serius dan berlatih dengan bersungguh-sungguh malah harus menjadi individu berfikiran positif dan menjadi atlet yang sentiasa berada di tahap kecergasan memuaskan.
“Saya perlu mengekalkan momentum dan mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi bagi memastikan JDT terus berkembang dan juga mahu menamatkan saingan liga tanpa sebarang kekalahan dan itu menjadi misi utama saya dan rakan sepasukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.
Bergson juga tidak menafikan pembabitan rakan sepasukan yang membantunya untuk muncul penjaring terbanyak pada musim ini terutama bantuan umpanan daripada Arif Aiman Hanapi, Nazmi Faiz Mansor, Juan Muniz dan Heberty Fernandes yang memainkan peranan dalam setiap perlawanan.
Mengenai peluang untuk muncul selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman, Bergson enggan memikirikan status berkenaan sebaliknya mahu memberi tumpuan membantu JDT meraih kemenangan pada aksi terakhir liga menentang Kuching City FC dan final Piala Malaysia berdepan Sri Pahang FC (SPFC), 26 April nanti.
“Saya tidak tahu sama ada ia bakal muncul atau tidak dan apa yang boleh katakan hanya mampu berusaha untuk mencipta jaringan dan secara realiti tugas utama adalah berusaha bagi menjadi pemain yang baik dalam setiap perlawanan,” ujar Bergson.- MalaysiaGazette