Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih

KUANTAN – Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang (DPPNP) mengecam tindakan DAP yang disifatkan biadap kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan di Raub, semalam.

Ketua Pemuda DPPNP, Mohd Zarimi Abu Zih Al-Hafiz berkata, tindakan sewajarnya harus diambil oleh pihak berkuasa agar perkara sebegitu tidak akan berulang.

“Benarlah pepatah Melayu mengatakan seperti kaduk naik junjung, itulah realiti apabila DAP beroleh sedikit kuasa.

“Insiden yang tular di media sosial itu memperlihatkan bagaimana secara agresif DAP cuba menghalang tindakan penguat kuasa yang sedang melaksanakan arahan penghapusan kira-kira 200 batang pokok durian Musang King yang ditanam secara haram di tanah kerajaan negeri.

“Ia bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi Parlimen, malah memberi isyarat buruk kepada rakyat tentang sikap sebenar wakil rakyat yang sepatutnya menjadi contoh dalam menjunjung kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, perbuatan campur tangan secara kasar seperti itu boleh melemahkan sistem tadbir urus dan menjejaskan integriti perkhidmatan awam yang selama ini berusaha melaksanakan tanggungjawab dengan amanah.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa agar tidak berdiam diri dan segera mengambil tindakan undang-undang terhadap perbuatan tersebut.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah klip video pertengkaran mulut antara kumpulan pekebun diketuai Penasihat Save Musang King Alliance (Samka), Chow Yu Hui yang juga ahli parlimen Raub, dalam usaha menghalang pihak berkuasa menebang pokok durian Musang King di Sungai Klau di Raub.

Samka mendakwa anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bersama kakitangan Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah serta polis telah masuk ke kebun durian di Sungai Ruan, Raub kira-kira jam 11 pagi semalam untuk menebang pokok-pokok berkenaan.

Bagaimanapun, kerajaan Pahang dalam maklum balasnya menafikan dakwaan yang mengatakan kerajaan negeri melanggar perintah mahkamah dengan menebang pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here