NAHAS helikopter pelancong yang mengorbankan enam orang di Manhattan, AS. - Foto: AFP

NEW YORK – Sebuah helikopter yang membawa pelancong terhempas ke dalam Sungai Hudson di antara Manhattan dan persisir New Jersey kira-kira pukul 3.15 petang, Khamis.

Kejadian itu menyebabkan enam maut termasuk lima ahli keluarga seorang ahli perniagaan dari Sepanyol, dalam satu lagi nahas udara berprofil tinggi yang berlaku di Amerika Syarikat (AS).

Menurut pegawai pihak berkuasa, mereka yang maut dalam kejadian itu merupakan pasangan isteri dan tiga anak mereka, serta juruterbang.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis New York, Jessica Tisch seperti dilaporkan AFP berkata, Helikopter Bell 206, yang dikendalikan New York Helicopter Tours itu, berlepas kira-kira pukul 3 petang dari pad helikopter di pusat bandar dan terbang ke arah utara melalui Sungai Hudson.

Berdasarkan laporan saksi, helikopter itu dilihat berkecai di udara dengan ekor dan kipasnya tercabut dari badan pesawat, sebelum berpusing-pusing dan terhempas ke dalam sungai.

Sementara itu, video berkenaan kejadian itu yang sempat dirakam beberapa saksi turut tular di media sosial.

Dalam pada itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengenal pasti helikopter tersebut sebagai model Bell 206 dan kini menggerakkan siasatan bersama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).

Ruang udara di atas Manhattan sememangnya sering dipenuhi dengan kapal terbang dan helikopter, sama ada pesawat persendirian rekreasi atau penerbangan komersial dan pelancongan.

Manhattan turut mempunyai beberapa heliport yang digunakan untuk menghantar eksekutif korporat dan individu lain ke destinasi sekitar kawasan metropolitan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa nahas udara dilaporkan berlaku di AS termasuk pertembungan antara sebuah pesawat dan helikopter pelancongan di atas Sungai Hudson pada tahun 2009 yang mengorbankan sembilan orang.

Nahas serupa turut berlaku pada 2018 melibatkan helikopter sewa khas yang menawarkan penerbangan `pintu terbuka’ yang terhempas ke dalam Sungai East dan mengorbankan lima orang.

Sebuah pesawat pengangkutan perubatan turut terhempas dan membunuh tujuh orang dalam kejadian di kawasan kejiranan di Philadelphia pada Januari lalu.

Kejadian itu berlaku dua hari selepas sebuah pesawat American Airlines dan helikopter Tentera Darat bertembung di udara di Washington, menjadikannya antara bencana udara paling dahsyat di AS. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here