KUALA LUMPUR – Hubungan ASEAN-China menjadi detik penting tahun ini dengan pemeteraian Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 akan datang yang menggariskan komitmen bersama ke arah perdagangan dan pelaburan lebih besar serta integrasi ekonomi serantau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pencapaian itu bukan sekadar simbolik tetapi juga langkah strategik ke hadapan yang turut mengukuhkan kerjasama di bawah Inisiatif Belt and Road.

“Ia memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif untuk rakyat kita.

“Sebagai Pengerusi ASEAN untuk 2025, Malaysia kekal komited untuk memajukan pendekatan koperasi yang menggalakkan kestabilan, pasaran yang adil dan terbuka serta nilai bersama,” katanya yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China pertama yang membuka tirainya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, ketika ini adalah masa yang tepat untuk China dan ASEAN mengukuhkan lagi hubungan rakyat ke rakyat dengan cabaran yang sedang melanda persekitaran global.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan kerjasama yang terjalin antara dua pihak bukan transaksi semata-mata tetapi dibina atas asas kepercayaan pertalian budaya dan aspirasi yang dikongsi bersama.

Justeru beliau berkata, perbincangan dalam Forum Media dan Badan Pemikir ASEAN-China harus tertumpu kepada tiga tunjang utama iaitu Mempromosi Pertukaran Budaya; Menggalakkan Kerjasama Laluan Sutera; dan Memanfaatkan Revolusi Kecerdasan Buatan (AI).

“Kita mesti mengharungi cabaran dengan kebijaksanaan. Langkah-langkah perdagangan global terkini termasuk tarif baharu, menekankan keperluan untuk perkongsian ekonomi yang berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 200 delegasi dijangka menghadiri forum sehari itu yang dianjurkan bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Xinhua, menandakan julung kalinya kedua-dua agensi bekerjasama menganjurkan program media antarabangsa sejak memperbaharui perjanjian dua hala pada Disember 2023.

Bertemakan “Memperkukuh Kerjasama ASEAN-China”, forum ini menyediakan platform unik bagi perbincangan mendalam mengenai pelbagai isu penting kepada ASEAN dan masyarakat dunia.

Antara tetamu kehormat lain yang hadir dan menyampaikan ucapan termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua, Lyu Yansong dan Timbalan Pengarah Urusan, China Communications Construction Company Limited, Chen Zhong.

Program ini merangkumi dua sesi pleno yang akan membincangkan topik seperti ‘Menggalakkan Pertukaran Tamadun’, ‘Memanfaatkan Revolusi AI’ dan ‘Merebut Peluang Luar Biasa’ selain sesi perbincangan panel mengenai ‘Kesalinghubungan ASEAN-China dan Pasaran Bersama’.

Forum ini turut membincangkan teknologi media baharu seperti AI, analisis data dan automasi, selain keperluan meningkatkan ketelusan laporan media serta usaha memerangi penyebaran berita palsu di rantau ini.

Forum ini juga diadakan bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China bagi tempoh 2024-2027, selain bersempena lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke Malaysia minggu depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here