JOHOR BAHRU – Kemalangan yang meragut nyawa seorang wanita di persimpangan Jalan Bestari/Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini, semalam turut mengorbankan bayinya berusia setahun semasa mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, selain dua beranak itu maut, tiga mangsa cedera parah termasuk wanita warga emas dan seorang lagi cedera ringan.
“Kemalangan melibatkan kereta Perodua Myvi dan dua pacuan empat roda jenis Toyota Hilux. Perodua Myvi dipandu mangsa yang berusia 58 tahun bersama-sama dua penumpang wanita berusia berusia 62 dan 83 tahun serta kanak-kanak berusia satu dan tiga tahun.
“Sementara pacuan empat roda pertama dipandu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dan Toyota Hilux kedua pula dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pukul 3 petang apabila Perodua Myvi berkenaan yang datang dari Jalan Bestari menghala pekan Tiram tiba di tempat kejadian dan membelok ke kanan.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan Toyota Hilux pertama yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar sebelah kanan Perodua Myvi sehingga menyebabkannya berpusing.
Pada masa sama katanya, Toyota Hilux kedua datang dari arah Ulu Tebrau juga tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang Perodua Myvi.
Beliau memberitahu, akibat kemalangan tersebut, pemandu Proton Myvi, Yap Siew Lean tersepit di tempat duduk pemandu serta mengalami cedera parah di bahagian dalaman dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Penumpang Perodua Myvi iaitu seorang kanak-kanak berusia satu tahun cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di HSI.
“Tiga penumpang lain dalam Perodua Myvi mengalami cedera parah dan sedang dirawat di Zon Merah HSI manakala pemandu Toyota Hilux pertama cedera ringan dan pemandu Toyota Hilux kedua tidak cedera,” katanya.
Siasatan katanya, dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya memandu dalam keadaan berhati-hati kerana keadaan jalan yang licin ketika hujan.
Sebarang maklumat daripada saksi kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette