Sebuah rumah yang di dalamnya mempunyai kuil menjadi isu pencerobohan tanah yang diwartakan sebagai tapak Masjid Baru Dengkil ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Dengkil. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Daerah Tanah (PDT) Sepang akan membersihkan pencerobohan di tapak pembinaan Masjid Dengkil dalam tempoh sebulan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, tindakan itu selaras dengan titah Sultan Selangor bahawa tanah di bawah kawalan JAIS hendaklah bersih dari sebarang pencerobohan.

Tambah beliau, JAIS juga akan memeriksa semua tanah miliknya daripada pencerobohan.

“JAIS akan terus memastikan bahawa tiada sebarang bentuk pencerobohan terhadap mana-mana tanah di bawah kawalannya dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika ia berlaku.

“Semua tanah warta JAIS akan diperiksa semula dalam tempoh satu bulan akan datang untuk memastikan tiada sebarang pencerobohan berlaku. JAIS akan bersama-sama PDT dan pihak berkuasa tempatan dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad
Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad

Sementara itu, menurut Mohd. Shahzihan, pihak yang berada di tapak itu merupakan individu yang dipindahkan dari Ladang Galloway berikutan pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek pembangunan Cyberjaya.

PDT Sepang telah memberi penempatan baru bagi pihak tersebut berpindah ke tanah rizab Sungai Langat dan telah mendapat status menduduki sementara (TOL).

Kerajaan Negeri pada 2007 telah mengarahkan pengosongan tanah terhadap pihak terbabit bagi tujuan rizab masjid dan berlaku tuntutan pampasan oleh individu.

Pada tahun 2011 Kerajaan Negeri telah mewartakan tanah berkeluasan 10 ekar bagi tujuan pembinaan masjid dan sebahagian dari tanah itu adalah tanah rizab Sungai Langat yang diusahakan oleh pihak terbabit tanpa mengeluarkan pihak yang menduduki tanah.

Sebuah rumah yang di dalamnya mempunyai kuil menjadi isu pencerobohan tanah yang diwartakan sebagai tapak Masjid Baru Dengkil ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Dengkil. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 APRIL 2025

“Sejak awal pewartaan dibuat terhadap tanah bagi tujuan pembinaan masjid, JAIS menganggap tanah tersebut adalah kosong daripada sebarang aktiviti dan pembinaan bangunan, premis.

“Namun pada tahun 2024, JAIS telah mengesan wujud aktiviti dan pembinaan bangunan, premis di atas tanah bagi pembinaan sebuah masjid yang akan dimulakan pada tahun 2024,” katanya.

JAIS telah mengeluarkan surat bertarikh 10 September 2024 untuk PDT Sepang mengambil tindakan mengikut undang-undang bagi pengosongan tanah.

Melalui tindakan terbabit, JAIS berpandangan laporan polis tidak perlu dibuat kerana PDT Sepang mempunyai kuasa di bawah Kanun Tanah Negara 1965 untuk menguatkuasakan pengosongan tanah kerana wujud aktiviti dan pembinaan bangunan, premis tanpa mendapat kebenaran daripada JAIS.

Isu pencerobohan tanah masjid itu menjadi tular selepas pihak terbabit membina kuil peribadi di atas kawasan yang diduduki. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here