GOMBAK – Malaysia mengulangi pendirian untuk terus menyatakan sokongan terhadap isu Gaza dan Palestin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, disebalik sokongan padu itu, Putrajaya tidak akan mengenepikan kepentingan rakyat dan negara.
“Sebagai sebuah negara membangun, kita telah melakukan yang terbaik, namun (isu ini) masih belum selesai.
“Pastikan kita dapat bersuara (menyokong perjuangan Palestin) sebanyak mungkin, tetapi kita perlu betulkan negara kita, hentikan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pastikan kita mentadbir dengan baik dan melindungi kepentingan rakyat.
“Itulah jawapannya. Bukan jangka pendek, tetapi jangka panjang,” katanya dalam sesi soal jawab bagi program ‘Meet Anwar@IIUM: A Special Homecoming di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), hari ini.
Hadir sama adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah UIA, Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.
Anwar menjawab pertanyaan seroang pelajar UIA yang bertanyakan sama ada Malaysia akan terus vokal akan isu Gaza dan adakah langkah itu akan memberikan kesan kepada ekonomi negara.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kelemahan negara boleh mendedahkan ia kepada eksploitasi dan menjejaskan keupayaan untuk membantu pihak lain dengan berkesan.
“Jika kita lemah, orang akan merampas kekayaan kamu, kemudian kamu ditindas dan tiada apa lagi yang boleh dilakukan.
“Kami akan terus memperjuangkan isu Gaza dan melindungi kepentingan negara kita kerana tanpa kepentingan ekonomi dan kekayaan, kita tidak dapat membantu mereka. Sudah tentu kita boleh menyatakan sokongan dengan kuat,” katanya.
Sebelum ini, Anwar menyelar pihak tertentu yang mempersoalkan usaha Malaysia untuk membantu pembangunan semula Gaza.
Beliau berkata, melalui Projek Bandar Wakaf, Malaysia akan membina masing-masing sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk di sana. – MalaysiaGazette