KUALA LUMPUR – Pembinaan kuil yang dibantah penduduk di Jalan Rahmat Off Jalan Ipoh, di sini merupakan struktur sementara bagi kegunaan peribadi pemilik, bukannya untuk awam.
Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, struktur sementara itu adalah penempatan sementara (tidak kekal) bagi dewa-dewa kuil kecil sedia ada, susulan kerja-kerja pembangunan semula tapak sebagai kompleks komersil.
Menurutnya, pemilik juga memberi jaminan struktur sementara itu akan dialihkan dan mereka akan mematuhi semua peraturan DBKL.
“DBKL juga telah mengarahkan pemilik untuk mengemukakan permohonan kebenaran merancang secara rasmi untuk pertimbangan,” katanya.

Menurutnya, DBKL mengambil maklum mengenai pembinaan struktur kuil sementara itu yang dilansakana tanpa kelulusan, yang mana tapak tersebut merupakan milik persendirian.
Sehubungan itu, katanya, DBKL telah mengeluarkan beberapa notis penguatkuasaan di bawah Akta 267 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, termasuk arahan Stop Work Order dan tindakan seal terhadap struktur sementara berkenaan.
“Kemudian, hasil semakan di tapak mendapati kerja pembinaan struktur sementara tersebut telah dihentikan,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 200 penduduk setempat termasuk ahli beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak DBKL mengambil tindakan tegas termasuk merobohkan binaan kuil tersebut.
Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Prof Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, pembinaan kuil itu mengundang keresahan khususnya dalam kalangan umat Islam setempat memandangkan dibangunkan kurang 10 meter dari surau PERKIM.
Jelas beliau, pembinaan kuil itu yang betul-betul berhadapan dengan surau PERKIM juga mengganggu komuniti PERKIM khususnya ketika aktviti dakwah sedang berlangsung di bangunan tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN