Gambar Hiasan

KUANTAN – Seorang lelaki berusia 55 tahun kerugian RM232,740.00 duit simpanannya selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan sambilan dalam talian yang mendakwa melibatkan pengurusan kedai atas talian di platform e-dagang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pada bulan Oktober 2024, mangsa telah berkenalan dengan suspek melalui laman sosial Facebook sebelum meneruskan komunikasi melalui aplikasi WhatsApp.

“Suspek memperdaya mangsa untuk menguruskan perniagaan atas talian palsu di laman sesawang yang diberikan dan mempelawa mangsa membuka sebuah kedai di Shopee International Platform di bawah cawangannya.

“Mangsa dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak enam peratus dalam tempoh tujuh hari daripada hasil jualan, dengan syarat perlu mendahulukan modal sendiri bagi melunaskan tempahan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Yahaya, mangsa kemudian membuat sebanyak 17 transaksi ke 16 akaun bank berbeza antara 25 Disember 2024 hingga 22 Januari 2025 .

Namun, katanya, selepas pembayaran dibuat, mangsa tidak menerima sebarang komisen seperti yang dijanjikan, malah diminta membuat bayaran tambahan.

Mangsa menyedari diri ditipu dan telah membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Justeru, Yahaya menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan melalui media sosial.

“Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun bank terlebih dahulu menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here