Presiden Akademi Profesor Negara, Prof. Emeritus Dr. Jamal Othman.

KUALA LUMPUR – Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi kecil yang terbuka namun berintegrasi global, tidak seharusnya terlibat dalam pendekatan yang bersifat reaktif seperti perang perdagangan yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Apatah lagi, menurut Presiden Akademi Profesor Negara, Prof. Emeritus Dr. Jamal Othman, Malaysia tidak rugi semuanya ekoran kenaikan tarif itu, walaupun tindakan Presiden AS, Donald Trump membawa risiko.

Jelas beliau, sesuatu yang pasti, dasar baharu tarif oleh Trump itu akan menyebabkan berlakunya peralihan perdagangan dan perubahan dalam agihan sumber di seluruh dunia.

Katanya, perubahan dalam perbezaan tarif (tariff differentials) akan menjadi kunci dalam membentuk kesan tersebut serta keseimbangan perdagangan yang baharu.

“Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih menguntungkan, dengan kelebihan daya saing yang lebih tinggi.

“Malah, terdapat pengecualian yang diberikan kepada eksport semikonduktor Malaysia ke pasaran AS.

“Oleh itu, Malaysia boleh menjangkakan manfaat daripada peralihan perdagangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, menurut Jamal, Malaysia tidak boleh bergantung kepada kuasa pasaran seperti penawaran dan permintaan serta perubahan harga relatif semata-mata untuk menentukan hala tuju hubungan perdagangan negara.

Sehubungan itu, katanya, adalah mustahak untuk Malaysia bekerjasama rapat dengan ASEAN dalam mengambil pendirian bersama melalui satu strategi yang matang dan berhemah.

Jelas beliau, satu Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) serantau ASEAN-AS yang benar-benar progresif dan menyeluruh boleh dicadangkan dan diperjuangkan, tanpa menjejaskan nilai-nilai sosio budaya negara yang menjadi asas kepada jati diri bangsa dan masyarakat.

Selain itu, katanya, langkah lain yang boleh diambil termasuk menghidupkan semula semangat asal Kaukus Ekonomi Asia Timur (EAEC) seperti yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1990-an.

“EAEC dianggap sebagai pendahulu kepada forum ekonomi ASEAN+3 masa kini.

“Dimensi baharu berikutan tarif Trump wajar diperhalusi dalam rangka sedia ada seperti FTA ASEAN-China, ASEAN-Jepun, dan lain-lain, dengan matlamat untuk memperkukuh keterhubungan, mempelbagaikan eksport serta memperluas kebebasan dan daya tahan ekonomi serantau,” katanya.

Tambah beliau, sebagai sebuah ekonomi kecil dan sangat terbuka, kebergantungan tradisional Malaysia kepada satu pasaran negara walaupun canggih mungkin tidak lagi relevan.

“Marilah kita pimpin ASEAN ke arah keterlibatan yang lebih meluas, lebih inklusif dan lebih bermakna di bawah kepengerusian Malaysia.

“Dalam konteks ini, tarif Trump mungkin sebenarnya memberi ruang dan hikmah tersendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here