GOMBAK – Malaysia menzahirkan ucapan terima kasih kepada kesatuan negara-negara ASEAN dalam mendepani isu tarif tambahan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara yang berdagang dengannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan bersama kepimpinan negara-negara ASEAN merupakan kemajuan positif kepada kumpulan negara itu.
“Kita ada dua sesi minggu lalu, pertama menteri-menteri perdagangan dan pelaburan (ASEAN) yang memutuskan bersama masalah-masalah tarif dan alhamdullillah nampak konsesus kita tidak setuju dengan tarif dfikenakan. Sekarang nampak sudah reda.
“Kita ambil pendekatan bersama. Saya hubungi semua ketua-ketua ASEAN untuk adakan pendekatan bersama. Semalam juga dengan Kementerian Kewangan ASEAN dan semua hadir dan memberi pandangan sama. Ini satu kemajuan yang baik.
“Dengan kehadiran Gabenor Bank Pusat (negara ASEAN) nampak penyusunannya baik,” katanya kepada media selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Batu 6, hari ini.
Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini telah meminta Kementerian Luar membincangkan isu tarif pada sidang kemuncak khas AS- ASEAN.
Beliau mengesahkan semua pemimpin ASEAN bersetuju ke AS bagi bertemu Presiden Donald Trump pada sidang kemuncak itu, selain menegaskan, ASEAN tidak percaya dengan tindakan tarif balas dan blok perdagangan Asia Tenggara ingin terus berhubung dengan Washington. – MalaysiaGazette