JOHOR BAHRU – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan rompakan terhadap harta milik dua wanita, minggu lalu.
Tertuduh, Abdur Razzaq Suppiah Abdullah, 36, membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan berkenaan dibacakan di dua mahkamah berasingan.
Di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok, lelaki mualaf itu didakwa merompak harta milik seorang wanita warga Indonesia berusia 52 tahun iaitu beg, pasport republik Indonesia; telefon bimbit; cincin dan rantai tangan warna kekuningan serta dompet kecil dan sederhana yang mana ketika melakukan rompakan itu, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di lorong belakang sebuah kedai di Jalan Sri Putra 1, Bandar Putra, Kulai, dekat sini, pada pukul 8.45 pagi, 4 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim pula, dia yang merupakan seorang duda didakwa merompak harta milik seorang wanita tempatan berusia 37 tahun iaitu iaitu beg sandang, dua kad pengenalan, kad bank, telefon bimbit dan wang tunai RM200.
Ketika perbuatan rompak itu dilakukan, tertuduh didakwa mendatangkan ketakutan bahawa kecederaan akan berlaku kepada mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai dobi layan diri di Jalan Impian Senai Utama, Taman Impian Senai, Kulai pukul 8.45 pagi, pada hari yang sama dengan kes pertama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Maisarah Hassan tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan jumlah yang tinggi iaitu RM20,000, jika mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat jamin.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin juga mencadangkan jaminan RM20,000 sekiranya mahkamah rasakan wajar untuk tertuduh diikat jamin.
Abdur Razzaq yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang lebih rendah memandangkan dia yang sudah bercerai dengan isteri menanggung dan anak tunggalnya yang berusia 12 tahun.
“Saya hanya bekerja sendiri iaitu membaiki motosikal di rumah dengan gaji yang tidak menentu, tetapi anggaran kira-kira RM1,500 sebulan,” katanya.
Hakim Thalha dan Che Wan Zaidi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM9,000 dan RM10,000 serta syarat tambahan, perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.- MalaysiaGazette