Kanak-kanak mangsa yang terjejas oleh insiden kebakaran saluran paip gas sedang memeriksa mata secara percuma pada majlis penyerahan bag yang berisi suplemen kesihatan oleh Optimax Eye Specialist di Pusat Pemindahan Sementara, Dewan Masjid Putra Heights. Selangor. Foto HARI ANGGARA, 11 APRIL 2025

SUBANG JAYA — Pusat rawatan mata, Optimax Eye Specialist menganjurkan program pemeriksaan mata percuma kepada komuniti terjejas akibat kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, hari ini.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu dalam menyokong kesejahteraan rakyat Malaysia yang memerlukan.

Salah seorang pakar mata syarikat itu, Dr Miswan Muiz Mahyudin berkata, pemeriksaan ini dijalankan secara bergerak dengan peralatan khusus bagi mengesan masalah mata seperti glaukoma dan isu berkaitan saraf mata.

“Kita mulakan dengan membantu mangsa kebakaran, tetapi kini kita perluas kepada mangsa banjir juga.

“Jika ada masalah dikesan, kita akan rujuk kepada rawatan susulan,” katanya ketika ditemui media di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights, di sini, hari ini.

Pakar bedah mata, Dr Miswan Muiz Mahyudin (kiri) bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Optimax Eye Specialist, Sandy Tan (kanan) bercakap kepada wartawan ketika sidang media selepas menyerahkan bag yang berisi suplemen kesihatan kepada mangsa-mangsa yang terjejas oleh insiden kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara, Dewan Masjid Putra Heights. Selangor. Foto HARI ANGGARA, 11 APRIL 2025

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Optimax Eye Specialist, Sandy Tan memberitahu, sumbangan keseluruhan bernilai kira-kira RM100,000 telah disalurkan bagi menjayakan program ini.

“Kami adalah syarikat yang berasal dari Malaysia. Sebagai anak Malaysia, kita perlu bantu antara satu sama lain, terutamanya mereka yang sedang berdepan kesukaran.

“Selain pemeriksaan mata, pihak Optimax turut menyumbangkan produk nutrisi untuk membantu meningkatkan antibodi dan daya tahan penduduk yang terpaksa tinggal beramai-ramai di PPS ini,” ujarnya.

Program ini menyediakan saringan kesihatan mata percuma kepada lebih 80 keluarga yang terkesan akibat bencana.

Pemeriksaan mata bermula seawal jam 6.00 pagi dan dijangka berlangsung sehingga jam 6.00 petang ini.

Ia dibuka kepada semua peringkat umur iaitu dari kanak-kanak hingga dewasa dan bakal diikuti dengan rawatan susulan bagi kes-kes yang memerlukan.

Usaha ini memperlihatkan komitmen Optimax dalam memastikan tiada sesiapa pun yang terpinggir dalam mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan mata, terutamanya dalam waktu krisis.

Optimax Eye Specialist ketika menerima anugerah Hospital kepakaran terbaik kategori Mata Asia di Anugerah Asia Healthcare Award, semalam.

Syarikat berkenaan telah merangkul anugerah Hospital kepakaran terbaik kategori Mata Asia di Anugerah Asia Healthcare award, semalam.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here