ADUN Semenyih, Nushi Mahfodz.

KUALA LUMPUR – Tindakan memantau pemimpin parti pembangkang seperti penjenayah mencerminkan rasa tidak yakin pemerintah terhadap legitimasi (keabsahan) mereka sendiri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz.

Beliau turut menyifatkan penandaan status TCO (Travel Control Order) terhadap pemimpin pembangkang adalah penyalahgunaan kuasa dan melampau.

Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat itu mendakwa, tindakan tersebut turut menggambarkan agensi keselamatan negara telah disalahgunakan demi menjaga kepentingan politik pihak tertentu.

Menurut beliau, sumber keselamatan negara sepatutnya ditumpukan kepada ancaman sebenar seperti kartel dadah, ahlong, scammer, penjenayah siber, pengaruh komunis, pendatang haram dan penyeludup sempadan, bukannya mengawasi pergerakan dan komunikasi pemimpin yang sah dipilih oleh rakyat.

“Tindakan mengenakan TCO terhadap Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, adalah satu isyarat yang membimbangkan.

“Ia bukan sahaja mencerminkan politik ketakutan, malah meletakkan negara di laluan yang bahaya; di mana kuasa digunakan untuk menekan suara yang tidak sehaluan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Ahmad Samsuri mempersoalkan sama ada beliau dianggap seolah-olah penjenayah atau gangster selepas didakwa ditandai TCO yang mana pergerakkanya dipantau.

Bagaimanapun, mengulas perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau juga tertakluk kepada penguatkuasaan dan tindakan TCO dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa, begitu juga semua kenamaan lain.

Dalam pada itu, Nushi berkata, beliau menyokong sepenuhnya usaha untuk membongkar penyalahgunaan kuasa menerusi TCO tersebut di Parlimen dan di ruang awam.

Tegas beliau, sistem keselamatan negara tidak boleh dijadikan alat politik, sebaliknya perlu kekal profesional, berintegriti serta berpaksikan kepada keselamatan rakyat, bukannya survival kuasa pemerintah.

“Kita tidak akan menyokong kerajaan yang meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan rakyat.

“Rakyat yang cerdik menolak kerajaan yang takut pada kebenaran, dan menyalahguna kuasa demi kekal berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here