KOTA TINGGI – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang tidak sempat mengelak kenderaan pelbagai guna (MPV) yang keluar dari simpang di Felda Bukit Easter, di sini, malam tadi.
Kejadian tersebut mengorbankan mangsa iaitu lelaki tempatan, Muhammad Hazman Halil yang berusia 36 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kejadian membabitkan motosikal jenis Honda C100 ditunggang mangsa dengan MPV Proton Exora itu berlaku pukul 9.45 malam.
“Siasatan awal mendapati Proton Exora berkenaan telah keluar dari simpang secara tiba-tiba, menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan tersebut.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pemandu MPV pula merupakan seorang wanita tempatan yang berusia 38 tahun tidak cedera namun dilaporkan berada dalam keadaan trauma.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette