GOMBAK – Aspek pendidikan bukan sahaja perlu memupuk kecerdasan intelek, tetapi juga nilai-nilai seperti kebebasan, keamanan dan perpaduan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Anwar, cabaran sebenar buat kerajaan perpaduan kini adalah memastikan pelajar bukan sahaja dibekalkan dengan maklumat dan ilmu, tetapi juga mampu membezakan antara yang benar dan yang salah.
“Apabila saya bercakap mengenai ilmu pengetahuan, sama ada dalam bidang ekonomi atau politik, kepada semua bakal ahli sains politik di sini, dalam teknologi, dalam sains, nilai asas seperti kebebasan, keadilan, maruah insan mesti ada dan semuanya berteraskan nilai,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian dalam program ‘Meet Anwar@IIUM: A Special Homecoming’ iaitu satu sesi dialog terbuka antara Perdana Menteri dan warga kampus, khususnya pelajar universiti, yang dihadiri hampir 3,000 kakitangan dan pelajar universiti tersebut.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.
Dalam pada itu, Anwar berkata, langkah itu turut memerlukan peranan universiti-universiti Islam agar dalam memupuk kefahaman yang tulen dan bukan kebencian.
“Saya fikir Islam bukan hanya solat dan zakat, tetapi juga untuk mempromosikan keamanan, keadilan dan kefahaman terhadap kemanusiaan. Bukan untuk menabur benih perpecahan dan perbezaan.
“Malaysia adalah negara majoriti Muslim sebanyak 60 peratus, Islam adalah agama Persekutuan, tetapi kita mempunyai lebih 40 peratus bukan Muslim, maka kita perlu berurusan dengan mereka.
“Mengapa kita ada Rahmatan lil Alamin? Bila kita menyebarkan kebencian, perkauman, rasisme, fasisme, dan perpecahan. Maka kita mesti ingat, kita mungkin universiti Islam tetapi universiti Islam ini adalah untuk mempromosikan kefahaman sebenar terhadap Islam.
“Bukan menyemai kebencian terhadap yang lain tetapi membawa kepada kefahaman, penghargaan terhadap sastera dan mengenali antara satu sama lain,” kata Anwar.
Dalam ucapan sama, Anwar turut menyeru semua rakyat untuk menggunakan platform media sosial secara bertanggungjawab dan tidak menyebarkan kandungan digital yang mencemarkan budaya negara ini, terutamanya budaya Melayu dan Islam.
“Anda ada kebebasan untuk menggunakan media sosial tetapi apa yang anda lakukan? Penyalahgunaan, penuh dengan penipuan, penuh dengan kebencian, atas nama Islam dan Melayu. Saya seorang Melayu dan saya menghargai warisan budaya Melayu dan orang Melayu sampai satu tahap.
“Saya rasa orang Melayu ini ada satu keindahan, apa yang saya katakan sebagai kesedihan budaya, toleransi, menerima kewujudan makhluk lain dan menghormati perbezaan. Tiada perkauman,” tambahnya.
Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada UIAM bagi penyelenggaraan tandas, makmal dan asrama pelajar.
Dalam majlis tersebut, Anwar turut menyaksikan majlis penyerahan sumbangan bernilai RM1.3 juta kepada Dana Pelajar Antarabangsa Abu Sulayman (AISF) UIAM.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Presiden Centre for Islam in the Contemporary World, Shenandoah University, bagi pihak Sterling Management Group (SMG), Dr M. Yaqub Mirza kepada Osman dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi Tabung Endowmen UIAM (IEF). – MalaysiaGazette