SUBANG JAYA – Siasatan teknikal berhubung insiden kebakaran di Putra Heights masih belum dapat dijalankan secara menyeluruh kerana keadaan tanah di kawasan kejadian masih belum stabil.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata setakat ini hanya siasatan awal atas kertas dan di peringkat papan pemuka (dashboard) sahaja yang telah dijalankan.
Manakala siasatan lapangan masih tergendala kerana struktur tanah di lokasi letupan terlalu rapuh dan berisiko menyebabkan kejadian lebih buruk sekiranya dipijak oleh pasukan penyiasat.
“Siasatan teknikal belum berjalan sepenuhnya. Hanya berjalan di atas dashboard dan beberapa laporan kertas. Ia belum berjalan di lapangan kerana tapak itu belum lagi stabil.
“Tanahnya terlalu rapuh, jika dipijak, penyiasat boleh terjatuh. Oleh itu, pasukan siasatan tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sehingga kestabilan tanah dipastikan sepenuhnya,” katanya dalam satu sidang media di PPS Masjid Putra Heights, di sini, hari ini:
Selepas kerja penstabilan selesai, siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh pelbagai agensi teknikal termasuk Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG/DOJ), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta wakil dari Petronas.
Polis juga akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sekiranya wujud sebarang unsur jenayah yang boleh didakwa di mahkamah.
“Laporan awal dijangka akan disiapkan dalam tempoh dua minggu dari tarikh kejadian, namun kelewatan dijangka berlaku disebabkan faktor cuaca serta keadaan tanah yang tidak mengizinkan.
“Pihak teknikal menjangkakan hanya menjelang pertengahan Mei nanti barulah mereka akan memperoleh bukti dan kesimpulan yang lebih konkrit terhadap punca sebenar insiden,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Selangor akan mula menawarkan unit rumah tanpa deposit kepada mangsa-mangsa kebakaran bermula minggu depan.
Tawaran ini termasuk unit rumah di Sepang, Bukit Raja dan beberapa lokasi lain yang ditawarkan oleh pemaju serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Kita akan bagi bantuan bukan hanya untuk satu bulan, tapi mungkin dua atau tiga bulan sekaligus supaya mereka boleh selesaikan isu deposit.
“Bantuan awal yang mereka terima dianggarkan antara RM5,000 hingga RM10,000, bergantung kepada kerosakan dan keperluan,” ujarnya.
Setakat ini, sebanyak 100 unit rumah telah disahkan sedia ditawarkan, dan kerajaan sedang mengumpul lebih banyak unit tambahan termasuk rumah di bawah skim Rumah Selangorku.
Bantuan sewa juga akan disalurkan terus ke dalam akaun penerima bersama dokumen lengkap berkaitan penempatan semula. – MalaysiaGazette