GOMBAK – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau juga diletakkan di bawah status ‘Travel Control Office/Order’ (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.
Katanya, semua orang kenamaan yang berada di negara ini turut berada dibawah kawalan sama.
“Saya pun ada, semua VIP pun ada,” katanya selepas menghadiri program ‘Meet Anwar@IIUM: A Special Homecoming di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), hari ini.
Hadir sama adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah UIA, Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.
Anwar menjawab soalan media mengenai pendedahan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mendakwa beliau dilabel dan ditanda sebagai individu di bawah status ‘Travel Control Office/Order’ (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas mendakwa situasi itu sudah berlaku sejak pertengahan tahun lalu.
Katanya, dalam sistem keselamatan negara, TCO merujuk ‘Travel Control Order’ oleh pihak berkuasa iaitu satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.
Ahmad Samsuri mendakwa, status itu membolehkan segala pergerakan, komunikasi dan interaksi seseorang dipantau secara menyeluruh, senyap, dan berterusan.
Katanya, ia dilaksanakan atas nama ‘untuk keselamatan negara’ atau ‘untuk kestabilan politik tetapi realitinya sering digunakan sebagai alat politik dan cara mudah untuk untuk mengumpul maklumat politik pihak lawan sebagai usaha untuk mengawal dan menekan suara tertentu.
Awal hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyangkal dakwaan Ahmad Samsuri dengan berkata kerajaan tiada keperluan untuk mengintip pergerakan beliau.
Saifuddin Nasution berkata, ini kerana pemimpin Pas itu sentiasa didampingi anggota polis.
Saifuddin berkata, semua VVIP di negara ini berada di bawah pengawasan atas alasan keselamatan, tetapi hanya Samsuri yang memilih untuk mempertikaikannya.
TCO, katanya, adalah satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah. – MalaysiaGazette