ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim, Hector Bidoglio menganggap tugasan dalam kancah liga masih belum selesai dan perlu membuat persiapan lebih rapi untuk menentang Kuching City FC dalam aksi terakhir Liga Super, Rabu ini.
Beliau berkata, tumpuan untuk berdepan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu lebih fokus berbanding memikirkan aksi final Piala Malaysia berdepan Sri Pahang FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 26 April ini.
Menurut Pengendali kelahiran Argentina itu, tidak sesuai dan bukan masanya untuk berbicara mengenai aksi final Piala Malaysia.
“Ketika ini saya ingin memikirkan tentang pertemuan menentang Kuching City FC, ini adalah fokus utama kami dan biarlah kita harungi satu perlawanan ke satu perlawanan malah kami akan berdepan pasukan yang meningkat naik dan perlu bersiap sedia untuk perlawanan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan antara JDT dengan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.
Dalam pertemuan tersebut JDT menang 9-0 menewaskan KDN FC.
Mengulas kejayaan skuad Harimau Selatan membelasah KDN FC, beliau berkata, Bidoglio menghambur pujian dengan komitmen setiap pemain yang mempamerkan aksi menakjubkan.
“Pemain mempamerkan prestasi terbaik pada perlawanan itu dan mereka begitu serius untuk memburu kemenangan walaupun berdepan pasukan tercorot liga tapi pemain tetap bermain dengan corak permainan berintensiti tinggi.
“Kami ada berbaki dua lagi perlawanan sebelum saingan liga melabuh tirai seperti yang katakan menentang Kuching City FC dan final Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC dan kedua-dua perlawanan aksi itu dianggap menyukarkan.
“Saya juga berpuas hati dengan ‘set-piece’ yang dirancang dalam perlawanan itu malah kerja keras sepanjang latihan sebelum menentang KDN FC membuahkan hasil apabila pemain berjaya menterjemahkan perancangan taktikal yang dibentuk dengan jaringan,” katanya.
Mengenai kelibat Bergson da Silva yang meledak lima gol pada babak pertama, Bidoglio berkata, pemain import dari Brazil itu beraksi secara berpasukan dan kerap memberi tekanan terhadap benteng lawan yang menyebabkan pemain KDN FC hilang fokus dan memudahkan tugas bagi barisan serangan JDT menjaringkan gol.
“Apabila pasukan memerlukan penyerang yang bekerja keras dan kerap beri tekanan terhadap benteng lawan, maka Bergson melaksanakan tugas dengan baik malah di bilik persalinan ketika rehat saya berjumpa dengan dia dan memberi kata-kata semangat selepas menjaringkan lima gol di babak pertama.
“Apa yang tekankan lagi supaya Bergson bermain secara berpasukan dan dia mengikut arahan yang diberikan malah pada babak kedua dia juga melakukan bantuan jaringan untuk memastikan kita menambah empat lagi jaringan dalam perlawanan itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette