MELAKA – Suspek lelaki yang dipercayai mencabul seorang gadis ketika dia sedang berjoging di Taman Rekreasi Bukit Serindit, di sini, malam tadi, diberkas polis.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki bujang berusia 27 tahun berasal dari Jasin itu ditahan
pada jam 12.05 pagi tadi berhampiran lokasi kejadian.
“Suspek ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes cabul seorang gadis berusia 20 tahun yang sedang bersenam seorang diri di taman rekreasi itu pada jam 10 malam tadi.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek bagaimanapun mendapati dia bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Tambahnya, permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama empat hari bermula hari ini sehingga 14 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
“Kesalahan mencabul kehormatan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebat atau denda atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Dzulkhairi berkata, orang ramai dinasihati supaya berhati-hati dan tidak bersendirian ketika melakukan aktiviti luar bagi mengelakkan daripada terlibat dalam kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette