KUALA LUMPUR – Terowong SMART berjaya melencongkan 1,635,909 juta meter padu air pada pagi ini, susulan hujan lebat beberapa jam yang melanda ibu negara sejak tengah malam tadi.
Ia sekali gus berfungsi mengelak banjir di sebahagian kawasan lembangan Sungai Klang terutamanya di Masjid Jamek; Leboh Ampang; Dataran Merdeka dan Jalan Melaka.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad, Muhammad Nizam Alias berkata, kejayaan itu membuktikan betapa pentingnya infrastruktur Terowong SMART yang dibangunkan bukan sahaja bagi aliran trafik harian tetapi juga perlindungan kepada perubahan iklim dan bencana alam.
Menurut beliau, Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn. Bhd. (SMART) menerima isyarat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pukul 1.52 pagi tadi untuk mengaktifkan pengoperasian Mod Tiga Terowong SMART.
Jelasnya, Mod 3 adalah mod operasi banjir untuk mengalirkan air banjir di mana bahagian terowong paling bawah digunakan dan melibatkan penutupan terowong untuk kenderaan bagi persediaan operasi banjir yang lebih serius.
“Lebuhraya SMART direka dengan dwi-fungsi untuk menampung trafik semasa cuaca baik dan mengalirkan air banjir sewaktu hujan lebat dan ribut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Terowong SMART telah diaktifkan sebanyak 120 kali sejak dibuka dan berjaya mengelakkan kerugian berjumlah ratusan juta ringgit.
Pihak SMART juga sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir lebih-lebih lagi semasa penghujung monson timur laut ketika ini.
Untuk sebarang makluman lanjut, pengguna lebuh raya boleh lawati laman web SMART di ww.smarttunnel.com.my, atau mengikuti kami di laman Facebook SMART Tunnel, Twitter @ Smarttunnel dan berhubung di talian bebas tol 1300-88-7188 untuk sebarang pertanyaan. – MalaysiaGazette