Rezal Zambery mengadakan sidang akhbar selepas perlawanan Liga Super antara KDN FC dan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

ISKANDAR PUTERI – Latihan yang tidak cukup dan tiada persediaan rapi didakwa menjadi punca kekalahan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 0-9 semasa bertemu di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super malam tadi sini.

Pengendali KDN FC, Rezal Zambery Yahya mendakwa, anak didiknya hanya berkumpul sehari sebelum perlawanan dan menjalani latihan secara berkumpulan menjelang pertemuan sengit di kubu lawan itu.

Beliau berkata, meskipun rasa kecewa diaibkan skuad Harimau Selatan itu, mereka tidak mampu berbuat apa-apa dengan keadaan kecergasan pemain yang tidak mencapai tahap 50 peratus.

“Kita sudah tidak menjalani latihan bersama-sama hampir tiga bulan, jadi bila berdepan dengan pasukan JDT tanpa ada persiapan rapi dibuat, inilah akibatnya. Kita hanya berjumpa sehari sebelum perlawanan sahaja.

“Namun, saya tetap bersyukur juga kerana pemain masih lagi ingin berjuang bersama-sama dan menunjukkan komitmen pada perlawanan ini walaupun dalam keadaan kekurangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi

Pada perlawanan itu, Bergson Da Silva mempamer taringnya apabila meledak lima gol manakala Romel Morales menjaringkan dua gol dan Shahrul Saad dan Safiq Rahim masing-masing menjaringkan satu gol.

Mengulas lanjut, Rezal Zambery berkata, tahap kecergasan pemain bukan pada tahap terbaik ketika berdepan JDT setelah hanya menjalani latihan secara bersendirian.

Tambahnya, seperti dalam beberapa perlawanan terdahulu, skuad Kijang Emas itu memberi tumpuan kepada aspek bertahan berbanding menyerang memandangkan tahap kecergasan pemain bukan berada di tahap tinggi.

“Tahap kecergasan pemain berada pada tahap yang sangat rendah, mungkin hanya 30 atau 40 peratus sahaja. Latihan sendiri yang dijalani pemain tak sama dengan intensiti berlatih berpasukan,” katanya.

Matlamat KDN ketika ini ujarnya, adalah untuk menghabiskan kesemua baki perlawanan selain berharap pemain akan mempamerkan komitmen tinggi mengikut kemampuan mereka.

Tambahnya, baki perlawanan itu juga sebagai medan untuk pemain menunjukkan bakat sebenar mereka agar dapat menarik minat pasukan lain untuk mendapatkan khidmat mereka pada musim depan.

“Sebagai pengendali pasukan, saya tak mahu pasukan berterusan menjadi mangsa belasahan namun dalam keadaan yang berlaku dalam pentadbiran pasukan, saya tak mampu berbuat apa-apa.

“Saya harap pemain tak cepat putus asa dan fikirkan masa depan mereka yang masih panjang, kita pun tak boleh jangka apa yang boleh berlaku di masa depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here