JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai tugas besar di peringkat ASEAN dan Malaysia untuk menangani cabaran ekonomi angkara perang tarif yang diisytiharkan serentak ke seluruh dunia oleh Presiden America Syarikat, Donald Trump.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, bagi memastikan peranan tersebut dapat dimainkan dengan berkesan, Perdana Menteri memerlukan sokongan padu di peringkat ASEAN dan Malaysia.
Katanya, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025 menjadi tanggungjawab untuk muncul sebagai jurubicara ASEAN yang berwibawa untuk menghadapi ancaman perang tarif itu tetapi dengan langkah berhati-hati dan mengutamakan rundingan.
Menurut Hassan, diplomasi dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk menangani isu tarif perdagangan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat boleh diterima sebagai langkah yang menasabah dan pragmatik.
Jelasnya, ini kerana Malaysia sebuah negara perdagangan bebas dan bukan sebuah kuasa besar dalam ekonomi di peringkat global.
“Begitu juga dengan langkah kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan bersepadu dengan 10 negara anggota ASEAN dalam berhadapan tindakan Presiden Trump juga dianggap satu pendekatan yang betul.
“ASEAN adalah sebuah pertubuhan serantau yang dibentuk pada asasnya untuk kerjasama ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi menjalankan fungsi kepimpinan di peringkat ASEAN terutamanya, maka Malaysia perlu mewujudkan suasana politik yang mantap dan bersatu.
Khususnya kata Hassan, politik dalaman Malaysia sendiri supaya kerajaan dapat menumpukan sepenuh usaha bagi menyelamatkan ekonomi Malaysia dan kepentingan ekonomi negara-negara ASEAN.
Beliau percaya, Kerajaan Madani tidak boleh bersendiri dalam menangani cabaran ekonomi angkara perang tarif tersebut.
“Saya berpendapat kerjasama politik antara pihak kerajaan dengan blok pembangkang yang besar iaitu Perikatan Nasional (PN) perlu diwujudkan segera untuk kepentingan nasional demi menyelamatkan ekonomi Malaysia dan rakyatnya.
“Adalah satu langkah berjiwa besar jika Anwar Ibrahim memulakan usaha diplomasi menghentikan sengketa politik dalam negeri dan mempelawa serta menjemput blok pembangkang PN dalam kerjasama rentas politik untuk mengembleng idea, usaha dan kesatuan dalam tindakan bersama menghadapi ancaman perang tarif yang dilancarkan Trump itu,” ujarnya.
Malah katanya, jika memorandum kerjasama (MoU) perlu diwujudkan antara kerajaan dan pembangkang, maka langkah itu perlu diwujudkan dan ditandatangani segera.
“Masa sekarang bukan masa untuk parti-parti politik di pihak kerajaan dan pembangkang bercakaran.
“Sekarang adalah masa yang genting untuk semua tenaga progresif dan patriotik bersatu untuk selamatkan ekonomi Malaysia demi kepentingan lebih 33 juta rakyatnya bagi masa sekarang dan masa depan,” katanya.
Sebelum ini katanya, pada 2020 dunia diancam wabak Covid-19 dan ketika itu terdapat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memainkan peranan untuk menyelamatkan manusia di seluruh dunia dengan mengadakan kerjasama antara negara-negara.
Lima tahun kemudian iaitu sekarang ini dakwanya, dunia diancam pula penyakit ekonomi dipanggil tarif dilancarkan Trump.
“Pertubuhan ekonomi dunka dan WTO kelihatan lesu tak bermaya. Tidak ada suara dan tidak ada tindakan WHO menegur atau mengkritik Trump yang telah memulakan perang ekonomi di peringkat global,” katanya.- MalaysiaGazette