SUBANG JAYA – Selepas beberapa hari kerja pembersihan tertumpu di Putra Harmoni dan Putra Heights, tumpuan operasi kini beralih ke Kampung Kuala Sungai Baru.
Kampung itu merupakan kawasan yang baharu sahaja menerima kebenaran daripada pihak berkuasa untuk dimasuki pasca tragedi letupan paip gas, 1 April lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja-kerja pembersihan besar-besaran akan dijalankan selama dua hari bermula esok dengan penyertaan pelbagai agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan dan pasukan sukarelawan.
“Pembersihan di Putra Harmoni telah berjaya mengeluarkan lebih 100 tan sisa dan sampah.
“Kini, fokus kita beralih ke Kampung Kuala Sungai Baru, dan kita percaya dalam tempoh dua hari ini, sekurang-kurangnya 90 peratus kerja pembersihan boleh diselesaikan,” katanya dalam sidang media di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, antara keutamaan dalam pembersihan ini ialah membantu penduduk membuang sisa kebakaran serta barangan peribadi yang rosak teruk akibat insiden tersebut.
“Operasi ini dijangka dapat mengurangkan kesan trauma dalam kalangan mangsa yang masih terkesan dengan tragedi berkenaan.
“Pelaksanaan pembersihan diketuai oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan disokong oleh pelbagai agensi termasuk KDB Waste, SWCorp, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta semua pihak berkuasa tempatan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor,” tambahnya.
Pembersihan mega ini dijadualkan berlangsung pada hujung minggu, dan tiada mesyuarat Jawatankuasa Bencana atau sidang media harian akan diadakan sepanjang dua hari tersebut bagi memberi laluan kepada operasi pembersihan sepenuhnya. – MalaysiaGazette