KUANTAN – UMNO mendakwa bekas Presidennya, Tun Mahathir Mohamad enggan melepaskan pegangan dalam hak pemilikan geran tanah milik parti itu di Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur.
Menurut Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, meskipun surat guaman parti telah diserahkan kepada Dr Mahathir, namun beliau enggan menandatanganinya.
“Firma guaman telah menghantar surat untuk meminta dia melepaskan pegangan. Tapi, hingga sekarang, beliau enggan untuk menandatangani dokumen berkenaan.
“Saya ambil contoh spesifik, Hotel Seri Pacific adalah kepunyaan UMNO Link Companies (ULC). Hanya beliau seorang yang tidak menandatangani untuk melepaskan tanggungjawab sebagai pemegang amanah. Yang lain-lain semua telah melepaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Akademi Rel Pahang di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, seseorang itu seharusnya melepaskan pegangan haknya apabila dia tidak lagi menjadi pemegang jawatan dalam mana-mana organisasi terutamanya organisasi politik yang telah mengamanahkannya sebagai pemegang amanah.
Semalam, media melaporkan UMNO telah memfailkan saman pemula pada 6 Mac lepas bagi mendapatkan pengishtiharan supaya sebidang tanah di ibu kota berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti itu.
Dalam saman itu, UMNO memohon satu perintah bahawa pemilik geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftarkan atas nama pemegang-pemegang amanah iaitu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid dipindahkan kepada UMNO mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.
Mahkamah menetapkan 2 Mei depan untuk pengurusan kes selanjutnya. – MalaysiaGazette