KUALA LUMPUR – Presiden PRK, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya ahli parti yang mengundi dalam pemilihan bermula hari ini supaya memilih pemimpin yang mempunyai integriti.
Tegasnya, sebagai parti yang memperjuangkan hak rakyat, pemimpin yang bakal dipilih perlu dipastikan mampu memikul amanah dan membawa suara masyarakat.
“Seperti yang sering saya tegaskan – KEADILAN bukan sekadar parti politik, namun wadah perjuangan rakyat. Maka, pilihlah kepimpinan yang berintegriti, amanah dan benar-benar membawa suara rakyat terbanyak.
“Insya-Allah, usaha dan ikhtiar kita akan dipermudahkan demi Malaysia yang lebih adil dan makmur untuk semua,” katanya.
Beliau turut meminta mereka yang bertanding supaya menjauhkan budaya pecah belah dalam pemilihan parti yang bermula hari ini.
Katanya, proses pemilihan harus berlangsung dalam semangat kekeluargaan dan penuh etika.
“Selamat mengundi dan selamat maju jaya kepada semua calon serta anggota KEADILAN dalam pemilihan parti kali ini.
“Proses ini harus berlangsung dalam semangat kekeluargaan dan penuh etika, menjauhi budaya yang memecahbelahkan.
“Demokrasi dalaman parti perlu diperkukuh demi masa depan yang lebih utuh,” tegasnya.
Sehingga tarikh tutup pencalonan, 16,878 calon disahkan bertanding bagi pelbagai peringkat jawatan di 222 cabang, dengan 31 cabang pula menyaksikan tiada pertandingan di peringkat jawatankuasa cabang.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pemilihan cabang PKR 2025 fasa pengundian akan berlangsung bermula 11 hingga 20 April secara berperingkat mengikut negeri.
Beliau mengingatkan calon bahawa tempoh kempen akan berakhir pukul 11.59 malam pada 19 April dan sebarang bentuk kempen selepas itu termasuk pada hari pemilihan adalah tidak dibenarkan.
PKR memperkenalkan teknologi blockchain dalam sistem pemilihan parti berkenaan bagi memastikan tahap keselamatan dan ketulenan data pengundi dalam talian, selain menjamin integriti pengundian.
Menerusi mekanisme sekuriti itu, pengundi atas talian perlu mengesahkan identiti mereka dengan mendapatkan nombor pas pengesahan transaksi (OTP) melalui nombor telefon yang berdaftar serta melalui pengesahan pengecaman wajah.-MalaysiaGazette