TANGKAK – Polis merampas pelbagai jenis arak tiruan dan rokok tidak bercukai bernilai lebih RM128,000 dalam dua serbuan berasingan di sekitar Grisek, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, anggota Polis Marin Wilayah (PPM) 2 Muar melakukan serbuan pertama di sebuah Kampung Baru Grisek, Grisek pada pukul 12 tengah hari.
“Serbuan di kampung tersebut dilakukan di sebuah kawasan tanah rizab milik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan menemui pelbagai minuman keras serta rokok yang dipercayai tidak sah.
“Serbuan kedua pula dilakukan oleh anggota Balai Polis Tangkak pada pukul 6 petang yang membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 66 tahun.
“Turut dirampas rokok dipercayai tidak bercukai melibatkan 164 karton pelbagai jenis, sembilan karton minuman keras jenis beer, dan 67 botol minuman keras jenis liquor.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM128,910.70,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman denda minimum 10 kali nilai barang atau RM100,000 atau maksimum 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Beliau mengingatkan orang awam agar tidak terlibat aktiviti menyalahi undang-undang dan menyeru supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan haram kepada polis menerusi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak 06-9785222. – MalaysiaGazette